was successfully added to your cart.

Suasana Korban Yang Dirindukan

By | Uncategorized | No Comments

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim

Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah mensyariatkan ibadah korban ke atas umat Nabi s.a.w.

Ibadah korban merupakan ibadah yang tidak asing lagi, bahkan ia telah dilaksanakan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.. Ibadah ini merupakan syiar Islam terbesar yang disyariatkan seperti yang disebut dalam Al-Quran, Surah Al-Kauthar, ayat kedua:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Yang bermaksud: “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah.”

Dan juga dari hadith Nabi s.a.w:

ضحى النبي صلى الله عليه وسلم بكبشين أملحين أقرنين ذبحهما بيده وسمى وكبر ووضع رجله على صفاحهما

Yang bermaksud: “Nabi s.a.w berkorban dengan dua ekor kibas yang  berwarna putih bercampur hitam dan bertanduk. Baginda s.a.w menyembelih keduanya dengan tangannya sambil menyebut nama Allah s.w.t dan bertakbir serta meletakkan kaki Baginda s.a.w pada bahagian sampingnya.”

Nabi s.a.w dan para sahabatnya juga melakukan ibadah korban. Baginda s.a.w memberitakan bahawa berkorban merupakan sunnah muakkadah, iaitu sunnah yang dianjurkan. Oleh itu, kaum muslimin telah bersepakat tentang hukum disyariatkan ibadah korban tersebut, sebagaimana yang dinukil oleh berbilang ulama. Malah, ia adalah suatu amalan yang dikasihi oleh Allah s.w.t seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam sebuah hadith:

Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih dikasihi kepada Allah dan menumpahkan darah (adha) yakni lebih dikasihi oleh Allah ialah membuat korban, bahawa udhiyyah itu datang pada Hari Kiamat dengan membawa tanduk-tanduknya dan kukunya, dan bahawa darah udhiyyah itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah, sebelum darah itu tumpah ke atas bumi, maka hendaklah kamu buat udhiyyah itu dengan hati yang bersih.

Peraliran zaman telah menyaksikan perbezaan dalam cara umat Islam menjalankan ibadah korban di Singapura. Dahulunya, masyarakat awam diberi peluang untuk turut serta dalam proses korban tersebut – daripada menangkap kambing ke penyembelihan, ke penyiatan kulit, ke pemotongan bahagian sehinggalah ke pengagihan daging korban. Masjid-masjid dan madrasah telah diberikan kebebasan untuk mengendalikan ibadah korban, dan ramai pelajar-pelajar bersemangat untuk menyumbangkan masa dan tenaga demi menjayakan ibadah yang mulia ini. Ini memberi kesan yang sangat besar kepada pelajar-pelajar apabila mereka melihat kepentingan berkerjasama dan saling bantu-membantu, kerana ia mengajarkan mereka tentang ihsan, lantas merpereratkan silaturrahim di antara mereka.

Namun, pada hari ini, undang-undang telah diketatkan. Masyarakat awam tidak lagi dibenarkan untuk menyaksikan penyembelihan kecuali jika mereka merupakan pembeli atau pelaku ibadah korban. Disebabkan perkara-perkara yang tertentu, tidak semua masjid berpeluang untuk mengendalikan ibadah korban, apatah lagi pihak madrasah. Ia boleh dikatakan, disebabkan perubahan-perubahan ini, suasana Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban yang sangat dirasai dahulu tidak dapat, ataupun kurang dirasai pada hari ini.

Namun, perubahan dalam undang-undang tersebut hanyalah untuk memastikan bahawa kambing-kambing korban diurus dengan cara yang penuh rahmah. Undang-undang tersebut merupakan langkah tambahan agar ibadah ini dapat dilaksanakan dengan penuh perikemanusiaan, bersesuaian dengan sebuah hadith. Daripada Abu Ya’la Syaddad Bin Aus r.a, Rasulullullah s.a.w. telah bersabda:

“إن الله كتب الإحسان على كل شيء ، وإذا قتلتم فأحسنوا القتلة ، وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة ، وليحد أحدكم شفرته ، وليرح ذبيحته”

Sesungguhnya Allah telah menetapkan perbuatan baik (ihsan) atas segala sesuatu. Jika kalian membunuh maka berlakulah baik dalam hal tersebut. Jika kalian menyembelih perelokkanlah sembelihan kamu, hendaklah kalian mengasah pisaunya dan menyenangkan hewan sembelihannya”.  (Riwayat Muslim)

Terdapat sebuah definisi yang lebih besar tentang ibadah korban, yang perlu diketahui oleh umat manusia. Ibadah ini bukan hanya penyembelihan secara fizikal yang dapat dilihat. Namun, ibadah korban yang sebenarnya adalah keikhlasan seseorang individu dalam melakukan ibadah itu hanya kerana Allah s.w.t semata-mata.  Bukan setakat itu sahaja – malah dengan keikhlasannya itu, seseorang insan akan cuba sedaya upaya untuk membersihkan jiwa raganya, membuang segala penyakit hati dan keegoan dirinya untuk pulang kepada fitrah(kesucian). Disamping itu, dengan penuh rasa tawadhuk (rendah diri), dia akan memberikan sebahagian hasil dari korban yang telah dilakukannya untuk diraih, dikongsi dan dinikmati oleh insan-insan yang memerlukan.

Untuk menghidupkan suasana korban yang dirindukan, dan juga definisi korban yang sebenar, marilah kita menyemarakkan lagi ibadah ini dengan melibatkan diri untuk menyumbangkan tenaga menjadi sukarelawan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak melakukan ibadah korban, supaya ibadah ini dapat dirasakan bersama. Dengan keikhlasan dan kerjasama untuk  menjayakan ibadah korban, ia membuktikan bahawa sikap pengorbanan yang diharapkan dalam Islam ternyata wujud dalam masyarakat kita.

Sikap inilah yang sepatutnya dihidupkan oleh masyarakat Islam pada hari ini, iaitu pengertian korban yang sebenarnya, yang sangat bermakna dan diberkahi.  Itulah makna sebenar disebalik ibadah korban.

Wallahu’alam.

Nukilan:

Ustaz Muhammad Idris Bin Rifaie
Pegawai Dakwah Masjid Ar-Raudhah
Zulhijjah 1439H / August 2018M